Al-Kafi fi ‘Ilm al-Hadith yang dikarang oleh Abu Ja’far al-Kulaini (329H) merupakan salah satu kitab utama pegangan syiah. Ia terbahagi kepada tiga, iaitu Usul al-Kafi, Furu’ al-Kafi dan juga Rawdat al-Kafi.
Kitab ini merupakan salah satu kitab utama mazhab syiah disamping tiga kitab yang lainnya iaitu Man La Yahduruh al-Faqih oleh Ibn Babawayh al-Saduq al-Qummi (381H), Tahzhib al-Ahkam fi Sharh al-Muqni’a oleh Abu Ja’far al-Tusi (460H) dan juga Al-Istibsar fi ma Ikhtilaf min al-Akhbar oleh Abu Ja’far al-Tusi (460H)
Sesiapa yang mengkaji muqaddimah kitab-kitab ini, kita akan mendapati ulama-ulama syiah tersebut MENSAHIHKAN kesemua riwayat-riwayat yang ada dalam kitab mereka
Malangnya, golongan syiah moden dengan mudah menyangkal fakta ini. Mereka sering mengungkapkan slogan batil iaitu
‘Kitab al-Kafi metodologinya tidak seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim’
‘al-Kulaini hanya pengumpul dan tidak mensahihkan apa-apa riwayat yang ada dalam kitab beliau’
Lebih dari itu, mereka dengan mudah mengemukakan statistik hadith-hadith dalam al-Kafi yang dinukil dari Sayyid Ali al-Milani yang kononya mengatakan terdapat 5,072 hadith-hadith sahih, 144 hadith Hasan, 1128 hadith Al-Muwaththaq, 302 hadith al-Qawiy dan 9840 hadith da’if.
Persoalan utamanya,benarkah al-Kulaini hanya menjadi pengumpul??
Persoalan ini dapat dijawab dengan melihat kepada pernyataan al-Kulaini sendiri dan pengakuan ulama syiah tentang beliau
PERNYATAAN AL-KULAINI DALAM MUQADDIMAH AL-KAFI
Menjadi kesalahan fatal kepada seseorang untuk mengabaikan muqadimmah penulisan sesebuah kitab. Sepatutnya, untuk kita memahami apa yang ingin disampaikan pengarang, muqaddimah perlu diteliti dahulu!!
Dalam muqaddimah al-Kafi, al-Kulaini menerangkan keinginan puak syiah seperti berikut
وقلت إنك تحب أن يكون عندك كتاب كاف يجمع فيه من جميع فنون علم الدين ما يكتفي به المتعلم ويرجع إليه المسترشد ويأخذ منه من يريد علم الدين والعمل به بالآثار الصحيحة عن الصادقين عليهم السلام والسنن القائمة التي عليها العمل وبها يؤدي فرض الله عز وجل وسنة نبيه صلى الله عليه وآله
Terjemahan: Saya berkata: “Sesungguhnya anda ingin mempunyai sebuah kitab yang lengkap yang terhimpun di dalamnya semua bidang ilmu agama (Islam) yang memadai bagi seseorang pelajar, yang menjadi rujukan bagi pencari hidayah dan orang yang ingin kepada ilmu agama serta mahu beramal dengannya boleh mengambil daripadanya melalui riwayat-riwayat yang sahih dari orang-orang yang benar a.s. (imam-imam Ahl al-Bait) dan (mengandungi) sunnah yang diyakini yang boleh diamalkan serta (dengan athar-athar ini) boleh dilaksanakan segala kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah ‘azza wa jalla dan sunnah nabi-Nya s.a.w. dan keluarganya.
Rujukan: Abū Ja`far al-Kulaynī Mukaddimah al-Usul min al-Kafi Jilid 1, m/s 8 [Tehran]
Dari kenyataan di atas, keinginan puak syiah ialah untuk mempunyai sebuah kitab yang cukup bagi semua bidang agama, rujukan dan amalan melalui riwayat-riwayat yang sahih
Untuk menunaikan keinginan puak syiah ini, al-Kulaini mengatakan
وقلت لو كان ذلك رجوت أن يكون ذلك سببا يتدارك الله تعالى بمعونته وتوفيقه إخواننا وأهل ملتنا ويقبل بهم إلى مراشدهم
Terjemahan: Dan aku katakan: “Jika demikian, aku harapkan ia (kitab) ini menjadi sebab untuk Allah memberikan pertolongan dan taufiq-Nya kepada saudara-saudara kita dan penganut ajaran kita serta memberikan petunjuk kepada mereka”.
Rujukan: Abū Ja`far al-Kulaynī Mukaddimah al-Usul min al-Kafi Jilid 1, m/s 8 [Tehran]
Dia katanya lagi:
وقد يسر الله وله الحمد تأليف ما سألت وأرجو أن يكون بحيث توخيت
Terjemahan: segala pujian bagi Allah, sesungguhnya Dia telah memudahkan penulisan sepertimana yang anda minta dan aku harapkan ia sesuai dengan apa yang anda maksudkan.
Rujukan: al-Kafi oleh Abū Ja`far al-Kulaynī (d. 329), Jilid 1, m/s 9 [Tehran]
Sangat jelas lagi bersuluh, al-Kulaini ingin memenuhi harapan golongan syiah untuk mempunyai sebuah kitab yang sahih dari imam-imam syiah sebagai panduan dan amalan
PENGAKUAN ULAMA-ULAMA SYIAH KEPADA PENSAHIHAN AL-KULAINI
Pensahihan al-Kulaini dalam muqadimmah kitab beliau diakui oleh ulama-ulama syiah sendiri.
Ayatollah Muhammad Mahdi al-Aşifi menulis dalam Tarikh Fiqh Ahl al-Bayt:
وقد جمع رحمه الله في موسوعته هذه ما صح لديه من أحاديث الأئمة الهداة عليهم السلام
Terjemahan: Sesungguhnya dia (al-Kulaini) (semoga Allah merahmatinya) telah mengumpulkan di dalam kitabnya hadith Imam-Imam (yang menjadi petunjuk) a.s yang sahih di sisinya.
Rujukan: Riyađ al-Masail fī Bayan Aĥkam al-Shar` wa al-Dala’il, oleh al-Sayyid ‘Ali al-Ţabaţaba’i(1231H), Jilid 1, m/s 31 [Qum] – Tarikh Fiqh Ahl al-Bayt termasuk dalam mukaddimah.
Ayatollah Abu Talib al-Tajlil al-Tibrizi juga mengesahkan pengakuan al-Kulaini dalam mukaddimah kitabnya Mu`jam al-Mahasin wa al-Masawi
Dia menulis tentang al-Kulaini dan kitab al-Kafi sebagaimana berikut:
وقد صرح في مقدمته بصحة أحاديثه حيث قال وقلت تحب أن يكون عندك كتاب يأخذ منه من يريد علم الدين والعمل به بالآثار الصحيحة عن الصادقين عليهم السلام . . . . إلى أن قال وقد يسر الله وله الحمد تأليف ما سألت وأرجو أن يكون بحيث توخيت
Terjemahan: Sesungguhnya dia (al-Kulaini) telah menjelaskan dalam muqaddimah kitabnya tentang kesahihan hadith-hadithnya (al-Kafi) bila ia berkata: “Saya berkata: sesungguhnya anda ingin mempunyai sebuah kitab yang lengkap yang terhimpun di dalamnya semua bidang ilmu agama (Islam) yang memadai bagi seseorang pelajar, yang menjadi rujukan bagi pencari hidayah dan orang yang ingin kepada ilmu agama serta mahu beramal dengannya boleh mengambil daripadanya melalui riwayat-riwayat yang sahih dari orang-orang yang benar a.s. (imam-imam Ahl al-Bait)……….. sehingga katanya: “Segala pujian bagi Allah, sesungguhnya Dia telah memudahkan penulisan sepertimana yang anda minta dan aku harapkan ia sesuai dengan apa yang anda maksudkan”.
Rujukan: Mu`jam al-Maĥasin wa al-Masami, of Abu Ţalib al-Tibrizi, m/s 17 [Qum]
Al-Huur al-‘Amili (1104H), seorang ulama hadith Syi’ah yang mashyur. Beliau juga sangat menyakini kesahihan semua riwayat yang terdapat di dalam kitab al-Kafi. Beliau membuktikan perdiriannya berdasarkan kepada kenyataan al-Kulaini tersebut dengan katanya:
وهو صريح أيضا في الشهادة بصحة أحاديث كتابه لوجوه منها قوله بالآثار الصحيحة ومعلوم أنه لم يذكر فيه قاعدة يميز بها الصحيح عن غيره لو كان فيه غير صحيح ولا كان اصطلاح المتأخرين موجودا في زمانه قطعا كما يأتي فعلم أن كل ما فيه صحيح باصطلاح القدماء بمعنى الثابت عن المعصوم بالقرائن القطعية أو التواتر
Terjemahan: Ia juga adalah kenyataan yang jelas dalam mengesahkan kesahihan hadith-hadith yang terdapat di dalam kitabnya (al-Kafi) kerana beberapa faktor. Antaranya kata-katanya (al-Kulaini di dalam mukaddimah al-Kafi): “Dengan athar-athar yang sahih”. Dan satu perkara yang sudah dimaklumi bahawa dia (al-Kulaini) tidak menyebutkan apa jua kaedah (yang dapat digunakan) untuk membezakan riwayat-riwayat yang sahih dan tidak sahih jikalau terdapat riwayat-riwayat yang tidak sahih di dalamnya dan tidak ada juga istilah ulama mutaakhirin pada zamannya sebagaimana yang akan dijelaskan. Maka kerana itu diyakinilah bahawa setiap riwayat yang terdapat di dalamnya adalah sahih mengikut istilah mutaqaddimin dengan maknanya yang tsabit daripada al-Ma’sum (imam-imam Syi’ah) berdasarkan bukti-bukti yang qat’ie atau tawatur
Rujukan: Khatimah Tafsil Wasaa’il al-Shiah ilá Tahsil Masaa’il al-Shari`a, of al-Hurr al-`Amili (1104H), Jilid 30, ms 196 [Qum]
Nota: Maksud perkataan al-Hurr (istilah ulama mutaakhirin) adalah istilah yang mengklasifikasikan riwayat-riwayat menurut darjat kesahihan (Sahih, Muwaththaq, Qawi, Hasan dan Da’if). Ianya tidak digunapakai oleh ulama Syi’ah Ithna’ Ashariyyah melainkan setelah kurun ke-7, sebelumnya ulama mutaqqidimin mereka hanya menggunakan istilah sahih atau tidak sahih. Ini akan dijelaskan kemudian.
PENGAKUAN ULAMA YANG MENGKRITIK AL-KULAINI
Ulama-ulama syiah yang mengkritik al-Kulaini juga senada dengan pengakuan ulama-ulama syiah yang sebelumnya
Mereka tidak bersetuju dengan pensahihan al-Kulaini tapi MEREKA TIDAK MENAFIKAN HADITH-HADITH AL-KAFI ADALAH SAHIH DISISI AL-KULAINI
al-Sayyid Muhammad al-Mujahid al-Tabataba’i (1242H) menjelaskan
إن إخبار الكليني بصحة ما دونه في الكافي كما يمكن أن يكون باعتبار علمه بها وقطعه بصدورها عن الأئمة عليهم السلام فيجوز الاعتماد عليها والحال هذه كسائر أخبار العدول كذلك يمكن أن يكون باعتبار اجتهاده وظهورها عنده ولو بالدليل الظني فلا يجوز إذن الاعتماد عليه فإن ظن المجتهد لا يكون حجة على مثله كما هو الظاهر من الأصحاب بل ومن العقلاء وحيث لا ترجيح للاحتمال الأول وجب التوقف به لأن الشك في الشرط يوجب الشك في المشروط فيلزم التوقف
Terjemahan: Sesungguhnya pernyataan al-Kulaini tentang kesahihan riwayat-riwayat yang didokumentasikan olehnya di dalam al-Kafi boleh jadi menurut pertimbangan ilmunya dan keyakinannya bahawa ianya datang dari Imam-imam a.s.. Maka (jika berdasarkan keyakinan) harus berpegang dengannya padahal ia seperti sekalian riwayat daripada orang-orang yang adil. Begitu juga boleh jadi ia berdasarkan ijtihadnya dan apa yang jelas di sisinya walaupun berdasarkan dalil yang bersifat zanni (tidak diyakini sepenuhnya atau sangkaan sahaja). Maka (jika berdasarkan zanni) tidak harus berpegang kepadanya kerana zann (sangkaan) mujtahid tidak boleh dijadikan hujah sebagaimana pendapat yang nyata dari ashab dan golongan pemikir. Dan apabila tidak boleh ditarjihkan kepada kemungkinan pertama, maka wajiblah bertawaquf (tidak membuat sebarang keputusan) terhadapnya kerana sesungguhnya syak dalam dalam syarat membawa kepada syak dalam aplikasinya maka (pada ketika itu) mestilah bertawaquf.
Rujukan: Mafatih al-Usul, oleh al-Sayyid Muĥammad al-Ţabaţaba’i (1242H), m/s 332 [Tehran]
BANTAHAN SYIAH
Syiah mengemukakan bantahan kepada fakta-fakta di atas. Mereka katakan al-Kulaini hanyalah pengumpul dan tidak pernah mensahihkan riwayat-riwayat yang ada dalam kitabnya.
Bahkan dia sendiri mengatakan dalam muqaddimahnya dengan membawakan riwayat dari imam syiah
اعرضوها على كتاب الله فما وافى كتاب الله عزوجل فخذوه، وما خالف كتاب الله فردوه
Terjemahan: Hadapkan riwayat-riwayat itu kepada Kitabullah, apa yang sesuai ambillah dan yang menyalahi Kitabullah tinggalkan
Mereka katakan, al-Kulaini meminta untuk dinilai riwayat-riwayat beliau dengan al-Quran, jika benar, maka bertepatan maka terimalah, jika tidak maka tolaklah
BIDASAN KEPADA BANTAHAN SYIAH
Hakikatnya, nukilan bantahan syiah itu tidak penuh dan bersikap di luar konteks. Berikut adalah nukilan sebenar
فاعلم يا أخي أرشدك الله أنه لا يسع أحدا تمييز شئ مما اختلف الرواية فيه عن العلماء عليهم السلام برأيه، إلا على ما أطلقه العالم بقوله عليه السلام: " اعرضوها على كتاب الله فما وافى كتاب الله عزوجل فخذوه، وما خالف كتاب الله فردوه
"
Terjemahan: Ketahuilah wahai saudaraku, sesungguhnya tiadalah dibenarkan seseorang menggunakan pandangannya sendiri utk membezakan riwayat-riwayat yang berselisih yang datang dari para ulamak 'alaihissalam kecuali didasarkan atas apa yang disabdakan al 'Alim 'alahissalam. ‘Hadapkan riwayat-riwayat itu kepada Kitabullah, apa yang sesuai ambillah dan yang menyalahi Kitabullah tinggalkan!’
Nukilan sebenar menunjukkan al-Kulaini TIDAK MENYURUH kitabnya dinilai dengan al-Quran, sebaliknya seseorang tidak boleh menggunakan pandangan sendiri untuk membezakan riwayat-riwayat
Ini menunjukkan al-Kulaini sendiri telah menilai kitab tersebut sesuai dengan al-Quran pada pandangan ijtihadnya
PUJIAN ULAMA SYIAH KEPADA AL-KULAINI
Disamping terdapat ramai ulama syiah yang mengkritik kitab ini, ramai juga ulama syiah yang memuji kitab tersebut
Ia dianggap pegangan utama dalam mazhab syiah imamiyah
Ayatollah al-Sayyid Husayn Bahr al-`Ulum (1422H) dalam mukadimmah Talkhis al-Shafī of Abū Ja`far al-Ţūsī
إن الإجتهاد لدى الشيعة مرتكز على الكتب الأربعة الكافي للكليني ومن لا يحضره الفقيه للصدوق والتهذيب والاستبصار للطوسي وهي من الأصول المسلمة كالصحاح الستة لدى العامة
Terjemahan: Sesungguhnya ijtihad (ulama) di sisi Syi’ah bergantung kepada kitab yang empat: al-Kafi al-Kulaini, Man la Yahdhuru al-Faqih al-Saduq, al-Tahzhib dan al-Istibsar al-Tusi. Ini adalah (kitab) usul yang diterima seperti mana Sihah Sittah (kitab-kitab sahih yang enam) di sisi kebanyakan (golongan sunnah)
Rujukan: Talkhis al-Shafi (Muqaddimah) ,al-Sayyid Husayn Bahr al-`Ulum (1422), m/s 29 [Najaf]
Selain beliau, ulama-ulama syiah seperti Al Faidh Al Kasyani, An Nuri At Thabrasi, Abdul Husein Syarafuddin Al Musawi dan lain-lain ulama memberikan pengiktirafan menggunung bagi kitab ini
BAB-BAB BERMASALAH DALAM AL-KAFI
Persoalan yang perlu difikirkan, bagaimana ulama-ulama syiah menjadikan kitab ini sebagai usul dan memujinya sedangkan terdapat pelbagai penyelewengan aqidah dalam bab-babnya
Berikut adalah senarai-senarai sebahagian dari bab yang bermasalah dalam kitab tersebut.
- Bab para imam adalah pembawa perintah Allah dan penyimpan ilmuNya.
- Bab Para imam adalah cahaya Allah.
- Bab para imam adalah tiang bumi.
- Bab para imam mewarisi ilmu Nabi Muhammad dan seluruh Nabi dan washi sebelumnya.
- Bab para imam memiliki seluruh kitab suci yang diturunkan oleh Allah.
- Bab tidak ada yang mengumpulkan Al Qur’an yang lengkap selain para imam, dan mereka mengetahui ilmu Al Qur’an seluruhnya.
- Bab para imam memiliki mukjizat para Nabi.
- Bab para imam jika mereka ingin mengetahui sesuatu mereka akan mengetahuinya
- Bab bahwa para imam mengetahui kapan mereka mati, mereka hanya mati saat mereka berkehendak
- Bab para imam akan memberitahukan rahasia orang walaupun mereka tidak diberitahu.
- Bab bumi dan seisinya adalah milik para imam.
- Bab para imam mengetahui seluruh ilmu yang diberikan pada malaikat, Nabi dan Rasulullah Alaihissalam
- Bab Para imam mengetahui apa yang telah terjadi dan apa yang belum terjadi, tidak ada yang tidak mereka ketahui
KESIMPULAN
Dengan fakta-fakta diatas, jelaslah kepada kita al-Kulaini bukanlah seperti yang didakwa syiah kononnya dia hanya PENGUMPUL
Sedangkan dia sememangnya mensahihkan riwayat-riwayat yang ada dalam kitab beliau, Al-Kafi fi ‘Ilm al-Hadith
Maka dengan pensahihan riwayat-riwayat tersebut, jelaslah aqidah syiah yang beliau pegangi ternyata sesat. Ini dapat dilihat dengan tajuk-tajuk bab yang beliau letakkan sendiri dalam kitab tersebut
InsyaAllah, dalam masa yang akan datang, kita akan menilai riwayat-riwayat dalam kitab ini dan melihat pandangan ulama syiah terhadapnya
RUJUKAN
1. Shi’I Scholars and The Authencity of Their Text,
http://www.sunnidefense.com/exp/content/11-sh%C4%AB%C4%AB-scholars-and-authenticity-their-texts
2. Sorotan terhadap kitab-kitab utama syiah,
http://www.darulkautsar.net/article_cat.php?CategoryID=576