Senin, 30 Mei 2011

Kristianiti: Kepincangan Hidup Seperti Tuhan

Dalam kepercayaan kristianiti secara umumnya, apabila kita mempercayai kematian Isa a.s di tiang salib, maka semua dosa kita akan dihapuskan dan di akhirat nanti kita akan kembali kepada Tuhan, hidup selama-lamanya serta akan menjadi seperti Tuhan. Mereka mempercayai Isa a.s adalah Tuhan yang telah reinkarnasi dalam bentuk manusia dan bertindak sebagai juruselamat. Kepercayaan ini sebenarnya satu kepercayaan yang pincang. Persoalannya, benarkah Tuhan dalam Bible ingin manusia jadi sepertinya? 

Dalam Bible, setelah Adam dan Hawa memakan buah yang pertama (buah pengetahuan baik dan buruk), Tuhan tidak membenarkan mereka untuk makan buah yang kedua (buah pokok kehidupan). Dalam kitab kejadian 3:22, Tuhan berkata: 

"Sekarang manusia telah menjadi seperti Kita dan mempunyai pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Jadi perlu dicegah dia makan buah pohon yang memberi hidup, supaya dia jangan hidup untuk selama-lamanya."(Bible Indonesia) 

Jadi jelas dalam ayat ini, Tuhan memang tidak mahu manusia hidup selama-lamanya seperti Dia. Bahkan Tuhan begitu takut manusia menghampiri dan makan dari pokok kedua sehinggakan dia menyediakan malaikat dilengkapi pedang berapi untuk mengawal pokok tersebut. Ini disebutkan dalam Kejadian 3:24: 

Kemudian, di sebelah timur taman itu di depan pintu masuk, TUHAN menempatkan kerub-kerub, dan sebilah pedang berapi yang berputar ke segala arah, untuk menjaga jalan ke pohon yang memberi hidup itu. Dengan demikian tak seorang pun dapat masuk dan mendekati pohon itu. 

Persoalan yang boleh kita lontarkan kepada Kristian. Jika ketika Tuhan hidup, Tuhan tidak mahu kita hidup selama-lamanya macam dia. Apakah mungkin bila kita percaya Dia mati untuk kita, baru kita boleh hidup selama-lamanya sama seperti Dia? 

Bidasan Kristian 

Tuhan tak mahu kita hidup selama-lamanya dengan makan buah tersebut, tapi dia mahu kita hidup selama-lamanya dengan jalan yang lain yakni mempercayai kematiannya untuk dosa manusia. Ini adalah ujian kepada manusia.  

Jawapan Kepada Bidasan Kristian

Jika Tuhan mahu kita hidup selama-lamanya macam dia, cukup sekadar dia membiarkan Adam dan Hawa memakan buah yang kedua dan Dia tak perlu mati atau menyusahkan manusia dengan jalan yang lain. Kita bersetuju, Tuhan boleh menguji sesiapa yang dia kehendaki dalam apa cara yang Dia sukai. Namun, Tuhan tidak akan menguji dengan jalan yang memudaratkannya. Apabila dia mati, maka siapakah yang menghidupkannya kembali? Bukankah kematian itu satu kelemahan? Apakah Tuhan itu lemah? Tambahan, mengapa Tuhan berubah fikiran, pada awalnya dia tidak mahu manusia hidup selama-lamanya tapi akhirnya dia sendiri mati untuk membolehkannya?

Adapun dalam Islam, Allah s.w.t menguji Adam dan Hawa a.s dengan buah tersebut. Allah membiarkan mereka dalam ujian tersebut supaya mereka bersedia untuk menghadapi ujian yang lebih besar apabila menjadi khalifah kelak.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ (30)


Terjemahan: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." 
Setelah melalui ujian tersebut, Adam a.s akhirnya sedar akan bahayanya godaan syaitan bahkan dia menyesali akan ketelanjurannya. Allah yang maha penyayang mengajar sendiri kepadanya kalimah taubat dan mengampunkan dosanya.

فَتَلَقَّى آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (37)

Terjemahan: Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang (al-Baqarah 2:37)

Lihatlah betapa sayangnya Allah s.w.t, dia sendiri mengajar kalimah taubat dan mengampunkan dosa Adam a.s dan Hawa a.s. 

Malangnya kita tidak temui satupun ayat jelas dalam Bible menyatakan Allah mengampunkan Adam dan Hawa. Jika Tuhan yang maha pengasih tidak pernah mengampunkan Adam dan Hawa dalam Bible, maka apakah jaminannya anak keturunannya akan diampunkan Tuhan dengan mempercayai kematiannya di salib?

Fikirkanlah hai golongan pencari kebenaran.

Idea Syaitan Sama Dengan Idea Tuhan Dalam Bible

Dalam Islam, tidak disebutkan kemunculan dua buah pokok tapi hanya satu sahaja pokok. Lebih hebat lagi, ‘frasa kehidupan abadi’ tidak pernah dinyatakan Allah dalam al-Quran tapi dinyatakan oleh syaitan!!!

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى

Terjemahan: Kemudian syaitan membisikkan pikiran jahat kepadanya, dengan berkata: "Hai Adam, maukah saya tunjukkan kepada kamu pohon khuldi (keabadian) dan kerajaan yang tidak akan binasa?" (at-Taha 20:120)

Bahkan frasa, ‘menjadi kekal dan jadi seperti malaikat’ juga adalah perkataan syaitan.  Syaitan menyebutnya sebagai tipu daya kepada Adam dan Hawa a.s.


فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ

Terjemahan: Maka syaitan membisikkan pikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka yaitu auratnya dan syaitan berkata: "Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (al-A'raf 7:20)

Jika dianalisis, perkataan syaitan tersebut seiring dengan perkataan Tuhan dalam Bible, dimana Tuhan dalam Bible menyatakan pokok kedua tersebut pokok keabadian dan sesiapa yang memakannya akan menjadi seperti Tuhan (Kejadian 3:22).

Hai golongan pencari kebenaran, tidakkah anda lihat bagaimana idea Tuhan dan idea syaitan sama dalam hal ini?

Golongan kristian akan membalas dengan menyatakan walaupun terdapat persamaan idea Tuhan dan syaitan dalam Bible, itu bukanlah bermaksud syaitan itu Tuhan. Sebabnya syaitan sendiri diherdik oleh Tuhan dalam Bible

Jika demikian, maka berhentilah mengatakan Islam adalah agama ciptaan syaitan sedangkan ajaran Islam jelas-jelas bercanggah dengan kehendak syaitan.